Biografi Ab Aziz Ab Latiff

Mejar (B) Ab Aziz merupakan salah seorang pegawai kumpulan pertama daripada Kor Infantri yang menerima latihan untuk penubuhan Batalion Infantri Mekanise. Beliau telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Kompeni A, 19 RAMD (Mekanise) semenjak 1 Januari 1989 diatas kebolehan dan pengalaman beliau selain terpilih menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia pada Julai 1993.

Semasa operasi di Somalia, keberanian beliau dibuktikan dengan mengetuai Kompeni A untuk menyelamatkan empat wartawan CNN yang terperangkap di Hotel Al Shahafi pada 10 September 1993. Beliau sendiri telah mendahului anggotanya menuruni kenderaan APC untuk masuk ke hotel ketika tembak menembak sedang berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Kepimpinan beliau sekali lagi teruji ketika operasi menyelamat anggota Renjer dan Tentera Udara Amerika Syarikat (peristiwa helikopter Black Hawk jatuh) yang terperangkap di timur Pasar Bakara, Mogadishu pada 3 dan 4 Oktober 1993. Beliau telah dipertanggungjawabkan di kawasan pertahanan musuh (militia Mohamed Farrah Aidid) yang paling berbahaya dan sukar ditembusi kerana dipenuhi dengan senjata berat seperti RPG-7 dan Mortar. Semasa pertempuran tembak menembak yang berterusan, beliau dengan beraninya menuruni APC bagi menyelamatkan anggota APC Kompeni B yang tercedera dan terperangkap. Kejadian ini telah mencederakan pemandunya iaitu Koperal Mat Aznan Awang (akhirnya gugur sebagai 'bunga bangsa') dan memusnahkan dua APC Kompeni B. Semangat juang yang tinggi, keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau berjaya mententeramkan keadaan serta menyemarakkan semangat perjuangan anggotanya. Oleh kerana itu, pertempuran dalam suasana getir tersebut telah berlaku dengan hebatnya sehingga membawa mereka kepada kejayaan misi menyelamat.

Beliau mempunyai sikap tenang dalam membuat perkiraan keadaan dengan baik selain mampu mengaturgerakkan subunitnya secara taktikal dan teratur. Keberkesanan beliau mengetuai dan mengendalikan Kompeninya telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa dikalangan anggota MALBAT dan tentera Amerika Syarikat. Beliau telah mempamerkan semangat perjuangan dan keberanian yang tinggi serta membuktikan ketokohan sebagai seorang pegawai memerintah di medan pertempuran. Beliau telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 4 Jun 1994 sebagai menghargai semangat perjuangan, keberanian yang tinggi, pengorbanan, jasa serta ketokohan sebagai pegawai memerintah yang berjaya di medan pertempuran.